Januari 12, 2014

Struktur Binaan Ayat

Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Dalam struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti oleh predikat.

Ayat → subjek + predikat

Contoh:     Siti + membaca buku di dalam biliknya.
    • Siti - subjek.
    • Membaca buku di dalam biliknya - predikat.

Selain subjek dan predikat, sesuatu ayat mungkin juga mengandungi objek, pelengkap dan keterangan/penerang. Objek ialah unsur yang hadir selepas frasa kerja transitif. Oleh itu, objek ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh:      Ali + memukul ular itu.
    • Ali - subjek
    • Memukul ular itu  - predikat
    • Memukul - frasa kerja transitif
    • Ular itu - objek

Pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas sesetengah frasa kerja tak transitif. Oleh itu, pelengkap juga ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh:     Siti + pergi ke sekolah.
    • Siti - subjek
    • Pergi ke sekolah - predikat
    • Pergi - frasa kerja tak transitif
    • Ke sekolah - pelengkap

Keterangan boleh hadir dalam pelbagai posisi ayat tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu keterangan subjek dan katerangan predikat. Keterangan subjek hadir sebelum/selepas subjek dan membentuk sebahagian daripada subjek.

Contoh:     Seorang pelajar + dipilih untuk menyertai program itu.
    • Seorang pelajar - subjek
    • Seorang - keterangan (bilangan)

Contoh:     Pelajar itu + dipilih untuk menyertai program tersebut.
    • Pelajar itu - subjek
    • Itu - keterangan (ketentuan)

Contoh:     Dua orang pelajar USM + dipilih untuk menyertai program itu.
    • Dua orang pelajar USM - subjek
    • Dua orang - keterangan (bilangan dan penjodoh bilangan)
    • USM - keterangan (pemilik)

Keterangan predikat dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori. Antaranya adalah keterangan frasa kerja (adverba), keterangan FN objek dan keterangan pelengkap.

(1)       a. Siti menelaah bersungguh-sungguh pelajarannya..
           b. Siti membaca novel kegemarannya.
           c. Dia menjadi pensyarah universiti.

Dalam (1a), frasa “bersungguh-sungguh” ialah keterangan bagi frasa kerja “menelaah”. Dalam (1b), frasa “kegemarannya” ialah keterangan bagi FN objek “novel”. Dalam (1c), frasa “universiti” ialah keterangan frasa nama pelengkap “pensyarah”. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(1)       a’. Siti menelaah pelajarannya..
           b’. Siti membaca novel.
           c’. Dia menjadi pensyarah. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan