Januari 12, 2014

Pembahagian Subjek dan Predikat

Subjek merupakan konstituen dalam sesuatu ayat yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai frasa nama dan menjadi unsur yang diterangkan.

Predikat merupakan kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.

Contoh ayat;

  1. Petani itu membajak sawahnya setiap hari.
Subjek             : Petani itu
Predikat           : membajak sawahnya setiap hari

  1. Samsul menjawat jawatan baharu di syarikat ayahnya.
Subjek             : Samsul
Predikat           : menjawat jawatan baharu di syarikat ayahnya.

  1. Anak Pak Hashim yang tampan itu menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Langgar.
Subjek             : Anak Pak Hashim yang tampan itu
Predikat           : menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Langgar.

  1. Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Badrul terletak di Kampung Mawar dalam daerah Bachok.
Subjek             : Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Badrul
Predikat           : terletak di Kampung Mawar dalam daerah Bachok

Pembahagian atau pemenggalan kepada frasa subjek dan predikat bagi sesuatu ayat tidak boleh dilakukan tanpa peraturan. Dalam ayat (a) di atas, unsur itu membajak, misalnya tidak boleh digabungkan untuk menjadi binaan sebab bentuk itu dan membajak termasuk ke dalam kelompok unsur berasingan. Oleh itu, ayat (a) tidak mungkin boleh dipenggal dengan memisahkan petani sahaja sebagai frasa subjek, dan itu membajak sawahnya setiap hari sebagai frasa predikat.

(Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka)



Struktur Binaan Ayat

Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Dalam struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti oleh predikat.

Ayat → subjek + predikat

Contoh:     Siti + membaca buku di dalam biliknya.
    • Siti - subjek.
    • Membaca buku di dalam biliknya - predikat.

Selain subjek dan predikat, sesuatu ayat mungkin juga mengandungi objek, pelengkap dan keterangan/penerang. Objek ialah unsur yang hadir selepas frasa kerja transitif. Oleh itu, objek ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh:      Ali + memukul ular itu.
    • Ali - subjek
    • Memukul ular itu  - predikat
    • Memukul - frasa kerja transitif
    • Ular itu - objek

Pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas sesetengah frasa kerja tak transitif. Oleh itu, pelengkap juga ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh:     Siti + pergi ke sekolah.
    • Siti - subjek
    • Pergi ke sekolah - predikat
    • Pergi - frasa kerja tak transitif
    • Ke sekolah - pelengkap

Keterangan boleh hadir dalam pelbagai posisi ayat tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu keterangan subjek dan katerangan predikat. Keterangan subjek hadir sebelum/selepas subjek dan membentuk sebahagian daripada subjek.

Contoh:     Seorang pelajar + dipilih untuk menyertai program itu.
    • Seorang pelajar - subjek
    • Seorang - keterangan (bilangan)

Contoh:     Pelajar itu + dipilih untuk menyertai program tersebut.
    • Pelajar itu - subjek
    • Itu - keterangan (ketentuan)

Contoh:     Dua orang pelajar USM + dipilih untuk menyertai program itu.
    • Dua orang pelajar USM - subjek
    • Dua orang - keterangan (bilangan dan penjodoh bilangan)
    • USM - keterangan (pemilik)

Keterangan predikat dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori. Antaranya adalah keterangan frasa kerja (adverba), keterangan FN objek dan keterangan pelengkap.

(1)       a. Siti menelaah bersungguh-sungguh pelajarannya..
           b. Siti membaca novel kegemarannya.
           c. Dia menjadi pensyarah universiti.

Dalam (1a), frasa “bersungguh-sungguh” ialah keterangan bagi frasa kerja “menelaah”. Dalam (1b), frasa “kegemarannya” ialah keterangan bagi FN objek “novel”. Dalam (1c), frasa “universiti” ialah keterangan frasa nama pelengkap “pensyarah”. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(1)       a’. Siti menelaah pelajarannya..
           b’. Siti membaca novel.
           c’. Dia menjadi pensyarah. 



Januari 07, 2014

Definisi Sintaksis

Sintaksis ialah bidang ilmu linguistik yang mengkaji pembinaan ayat. Sesuatu ayat terbina daripada rentetan kata yang digabungkan dan disusun mengikut rumus atau hukum tatabahasa. Hal ini bermakna, sintaksis dapat juga diertikan sebagai bidang yang menkaji hukum atau rumus tatabahasa yang digunakan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

Menurut Nik Safiah Karim (2008), sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.


  • Bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat.
  • Melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa mengenaicara-cara penggabungan ayat.
  • Selain itu, kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat melalui jenis-jenis ayat dan ragam ayat.