Februari 12, 2014

Susunan dalam Ayat

Ayat bukan sahaja dapat dilihat dari segi unsur yang mendirika ayat tetpi juga dari segi susunan unsur-unsur itu.
JIk dilihat dari sudut ini, ayat terbahagi kepada dua bentuk, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
Ayat susunan biasa ialah ayat yang mendahulukan subjek dan mengemudiankan predikat. Ayat-ayat dasar yang telah dibincangkan ialah ayat susunan biasa.
Jika susunan biasa itu diubah dan predikat didahulukan, maka ayat demikian dikatakan ayat songsang.
Pendepanan boleh melibatkan bahagian-bahagian tertentu pada predikat, iaitu frasa kerja, frasa adjektif, atau frasa sendi nama.
Perhatikan contoh-contoh di bawah.
Adik-adik saya mandi lagi di sungai itu.
Mandi lagi adik-adik saya di sungai itu (FK mandi lagi -didepankan).

Ahmad ke Langkawi dengan keluarganya.
Ke Langkawi Ahmad dengan keluarganya (FS ke Langkawi didepankan).


Nota Tambahan
Susunan Ayat
SUSUNAN ayat bermaksud kedudukan subjek dan predikat dalam ayat. Setiap ayat terdiri daripada binaan subjek dan predikat. Susunan ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
Susunan biasa ialah binaan ayat yang subjeknya terletak di hadapan ayat, diikuti oleh predikat. Contohnya:
1. Aiman sedang membaca majalah.
Dalam ayat (i), subjeknya ialah Aiman, yang kedudukannya di bahagian awal ayat. Sementara predikatnya ialah membaca majalah yang hadir selepas subjek, yakni di bahagian belakang ayat. Inilah susunan ayat yang dikatakan susunan biasa
Mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu, bahagian yang di hadapan ayat itu yang dianggap lebih penting, lalu dijadikan sebagai judul. Dalam hal ini, subjeklah yang lebih penting, iaitu Aiman. Bahagian lain dalam ayat itu, iaitu predikat hanya memberikan keterangan kepada Aiman atau subjek ayat.
Bentuk ini bertepatan dengan hukum D-M dalam bahasa Melayu. Apakah maksud hukum D-M ini? “D” bermaksud unsur yang diterangkan, manakala “M” pula bermaksud unsur yang menerangkan, yakni menerangkan unsur “D”. Maka susunan ayat dalam bahasa Melayu yang biasa mematuhi peraturan ini, iaitu peraturan subjek diikuti oleh predikat.
Namun demikian, dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kadang-kadang kita menekankan bahagian predikat dan tidak bahagian subjek ayat. Oleh itu, bahagian predikat dibawa ke hadapan, manakala bahagian subjek dibawaka ke belakang, iaitu berada selepas predikat. Dengan mengambil ayat (1) sebagai contoh, maka predikat ayat sedang membaca majalah kita tukarkan susunannya. Maka lahirlah ayat berikut:
2. Sedang membaca majalah/ Aiman.
Susunan sedemikian, iaitu predikatnya mendahului subjek, dikatakan susunan
songsang. Dari segi rumus tatabahasa, bentuk susunan ayat yang begini masih gramatis. Tetapi kedudukan subjeknya telah berubah daripada kedudukan yang biasa. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan “songsang”, iaitu dilihat dari segi perubahan yang berlaku pada susunan subjek-predikatnya.
Pada hakikatnya, tujuan penyongsangan ayat adalah untuk memberi tekanan kepada predikat, dan tidak pada subjek. Dalam ayat songsang, predikat ayat dianggap lebih penting, dan oleh itu menjadi bahagian yang diterangkan (D).
Harus diingat, dalam susunan ayat songsang, tidak semua unsur dalam predikat ayat dikedepankan. Dengan kata-kata lain, penyongsangan boleh berlaku sama ada pada seluruh predikat atau hanya pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dalam ayat contoh (2), seluruh predikat telah dikedepankan, iaitu sedang membaca majalah. Tetapi dalam susunan biasanya, ayat itu boleh dipanjangkan menjadi ayat (3) berikut:
3. Aiman sedang membaca majalah di biliknya.
Dalam ayat (3), terdapat maklumat tambahan, iaitu unsur tempat (di biliknya).
Terdapat dua cara untuk menyongsangkan susunan ayat ini. Satu cara adalah dengan mengedepankan seluruh predikat lalu menghasilkan ayat (3a) seperti yang berikut:
3. (a) Sedang membaca majalah di biliknya Aiman
Dalam ayat ini seluruh maklumat dalam predikat dianggap penting. Cara yang kedua adalah dengan menganggap hanya fakta sedang membaca majalah sahaja yang penting, lalu membawa hanya bahagia tersebut ke hadapan. Maka lahirlah ayat (3b):
3. (b) Sedang membaca majalah, Aiman, di biliknya.
Demikianlah susunan ayat dalam bahasa Melayu. Unsur ini menjadikan ayat bahasa Melayu pelbagai dan lebih menarik, selain menimbulkan kesan keindahan. Unsur penyongsangan ayat juga merupakan satu sifat bahasa Melayu jati dan harus kita fahami dan kuasai.
Sumber : http://www.tutor.com.my




Tiada ulasan:

Catat Ulasan